Ahad, 2 November 2014

Liku bidang keusahawanan
 Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Berilmu, cekal dan berdisiplin teras kejayaan

Keusahawan adalah bidang yang mencabar, berisiko, berdaya saing dan kerjaya yang menjamin masa depan yang baik kerana mampu menjana keuntungan berlipat kali ganda. 
Berilmu, cekal dan berdisiplin teras kejayaan


Bukan mudah usahawan banyak liku perlu dilalui. Ada individu bergelar jutawan dan tidak kurang diisyiharkan muflis mengikut kecenderungan perniagaan diusahakan. 
" Dalam dunia keusahawanan, anda boleh jual apa saja, tetapi untuk memastikan hasil jualan laku dan laris, sepatutnya anda dapat 'memasarkan' diri terlebih dulu. Saya percaya, modal utama untuk berjaya ialah diri sendiri," Datuk Dr Maznah Hamid, Pengerusi Eksekutif Securiforce
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim, berkata dunia keusahawan tiada titik penamat kerana ia ada turun naiknya.
Katanya, untuk memiliki rangkaian perniagaan yang luas mereka perlukan pelbagai maklumat dan pengetahuan untuk mengembangkan perniagaan.

“SME berperanan menjadi rujukan kepada usahawan yang akan membimbing mereka termasuk dari segi mendapatkan keuntungan,” katanya dalam perbincangan bertajuk ‘Adakah Keusahawanan Untuk Semua Orang’, pada sesi Jejak Keusahawanan ‘The Women Extraordinaire Forum 2013’ (WEF), di ibu kota baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar dan Pengarah Dragonfire Corporate Solutions Sdn Bhd, Hanie Razaif Bohlender; Presiden Peniagawati, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi; Pengerusi Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif WealthAsia Group, Elsa Pau manakala Penerbit The Business Station BFM89.9, Soon Heng Lim bertindak sebagai moderator.
Hafsah berkata, segelintir individu memberi alasan ingin berniaga kerana tidak suka bekerja dengan orang sedangkan alasan itu tidak mungkin berjaya melahirkan usahawan yang benar-benar boleh dibanggakan.

“Bekerja sendiri dan memiliki syarikat sendiri bererti anda perlu memiliki komitmen tinggi, disiplin dan kecekalan untuk majukan perniagaan,” katanya.

Mengenai usahawan ‘dilahirkan’ atas pengaruh genetik keluarga, Hafsah berkata ia mungkin kebetulan, sebaliknya usahawan berjaya dan berkaliber boleh dibentuk serta digilap menerusi ilmu keusahawanan.

Tingkatkan keupayaan

Bagi beliau walaupun mempunyai pengetahuan dan akses mudah dalam bidang perniagaan, lebih selesa mengendalikan perkhidmatan meningkatkan keupayaan usahawan.

Hafsah berkata, usahawan berjaya dan berkaliber, boleh dibentuk serta digilap menerusi ilmu keusahawanan.

“Ada orang bertanya kepada saya, kenapa tidak menjadi usahawan sebaliknya bekerja dengan SME? Saya pernah berniaga tetapi tidak menjadi kerana kurang minat dalam bidang itu, sebaliknya lebih selesa membantu melahirkan lebih ramai usahawan,” katanya.

Beliau yang berpengalaman luas dalam pentadbiran sektor awam, termasuk pernah berkhidmat di beberapa kementerian antaranya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjelaskan, individu perlu jelas matlamat utama berkecimpung dalam dunia keusahawanan manakala minat, disiplin dan kecekalan adalah pendorong kepada kejayaan dalam bidang itu.

Suka kerja sendiri

Bagi Presiden Peniagawati, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi, beliau tidak gentar dengan cabaran dan ingin mencipta sesuatu kelainan.

Oleh itu, beliau memberanikan diri membuka firma guaman sendiri pada 90 untuk membezakan dirinya dengan rakan seperjuangannya, pada zaman itu.

“Waktu itu ramai rakan yang juga dalam jurusan undang-undang menyifatkan saya ‘hilang akal’ kerana tanpa modal dan tiada kenalan susah untuk meneroka bidang itu.

“Ada yang kata saya harus menimba pengalaman dengan bekerja dengan firma lain dulu tetapi tidak mahu ‘terikat’ dengan orang lain.

“Saya tubuhkan Azlin Alahakone & Associates, 1 Januari 1990. Pejabat saya dilengkapi bilik untuk bermain muzik. Jika ada peguam yang rasa tertekan boleh bermain muzik di situ. Saya mahu mewujudkan suasana kerja yang santai dan menyeronokan bagi mengelak kebosanan,” katanya yang berbakat bermain gitar, keyboard, drum dan saksofon.

“Enam bulan pertama, perit sikit sebab duit saya sewaktu belajar dulu lebih banyak daripada pendapatan saya terima daripada membuka firma itu,” katanya.

Hari ini selepas 26 tahun, beliau berbangga selaku ‘Managing Partner of Messrs Azlin Shaharbi & Associates’ malah pada 2006. Beliau juga menulis buku bertajuk ‘Undang-Undang Untuk Usahawan’ yang mengupas mengenai aspek perundangan dalam menjalankan perniagaan.

Pada 2011 beliau menulis buku bertajuk ‘Panduan Undang-undang Untuk Kejayaan Perniagaan’. Buku berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada usahawan dan kementerian berkaitan.

Aktif dalam badan bukan kerajaan, (NGO) dan menjadi inspirasi usahawan muda untuk berjinak-jinak dalam dunia penuh cabaran itu.

Bijak cari peluang

Hanie berkata, usahawan seharusnya berani, bijak mencari peluang dan sedia menghadapi risiko dalam dunia perniagaan.

Dilahirkan dalam keluarga yang berkecimpung dalam dunia perniagaan, Hanie berkata, pada usia 18 tahun ibunya memberikan modal kira-kira RM10,000 untuk memulakan perniagaan.

“Pada usia itu bukan semua anak muda tahu ‘gunakan duit’. Saya fikir, daripada membazir lebih baik saya ‘beranakkan’ duit itu. Waktu itu saya tinggal di Kuantan dan Teluk Chempedak adalah lokasi tarikan pelancong. Banyak sangat gerai makan di situ. Untuk kelainan, saya membuka gerai kecil menyediakan pareo batik lukisan tangan dan ia mendapat pulangan sambutan dan pulangan yang sangat baik,” katanya.

Walaupun, perniagaan itu tidak bertahan lama, beliau berpuas hati kerana ia mampu memberi keuntungan.

“Saya juga pernah berniaga alas meja pada bulan Ramadan dan ia juga menguntungkan,” katanya.

Bijak cari peluang

Hanie sememangnya bijak mencari peluang dan kebetulannya pula ideanya sering ‘menjadi’, malah pernah menceburi perniagaan berasaskan makanan dan katering ketika menetap di Sabah dengan menggajikan lebih 3,000 pekerja.

Malangnya kata Hanie, bukannya semua pengalamannya indah kerana sampai satu tahap beliau juga pernah gagal dalam perniagaannya.

“Bagaimanapun, kegagalan itu dijadikan pengajaran dan belajar daripada kesilapan untuk membina semula perniagaan,” katanya yang kini melangkah gagah sebagai Pengurus Besar dan Pengarah di Dragonfire Corporate Solutions Sdn Bhd, sebuah sebuah perniagaan perunding pengurusan syarikat.

Bina jaringan

Berperwatakan ceria, Elsa Pau berpendapat usahawan boleh diceburi oleh semua orang asal saja mereka mempunyai minat dan bersedia bekerjasama.

“Sekiranya anda dipaksa meneruskan perniagaan diwarisi keluarga, sukar untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang itu kerana melakukan perkara yang tidak diminati.

Kejayaan dalam perniagaan juga memerlukan jaringan, rakan, ilmu pengetahuan dan kemahiran kerana itu juga antara tunggak terpenting untuk mengukuhkan perniagaan itu.

“Malah bagi saya kalau fikir boleh lakukan semuanya secara sendirian, ia bererti anda sudah merancang untuk gagal,” katanya.

Melihat caranya bekerja, tidak mustahil mampu Elsa mampu meletakkan dirinya sebagai Pengasas, Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WealthAsia, selain ‘senior’ dalam industri kewangan dan ketua pengarang Majalah BENCHMARK dan rakan kongsi kanan di sebuah firma perunding perancangan harta. 

Kehebatannya juga melayakkan beliau dinamakan oleh majalah AsiaWeek sebagai salah seorang ‘Wanita Paling Berpengaruh’ di Asia.

sumber : http://www2.bharian.com.my/articles/Likubidangkeusahawanan/Article/

1 ulasan:

  1. 888 Casino Resort Las Vegas Tickets - Jetblue Vacations
    Set 상주 출장샵 for a tropical-inspired, tropical 시흥 출장마사지 atmosphere at Wynn 서산 출장샵 Las Vegas, this tropical-themed resort is set on 부산광역 출장마사지 a 5-acre tropical-themed island where 계룡 출장샵 the

    BalasPadam