Ahad, 2 November 2014

Liku bidang keusahawanan
 Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Berilmu, cekal dan berdisiplin teras kejayaan

Keusahawan adalah bidang yang mencabar, berisiko, berdaya saing dan kerjaya yang menjamin masa depan yang baik kerana mampu menjana keuntungan berlipat kali ganda. 
Berilmu, cekal dan berdisiplin teras kejayaan


Bukan mudah usahawan banyak liku perlu dilalui. Ada individu bergelar jutawan dan tidak kurang diisyiharkan muflis mengikut kecenderungan perniagaan diusahakan. 
" Dalam dunia keusahawanan, anda boleh jual apa saja, tetapi untuk memastikan hasil jualan laku dan laris, sepatutnya anda dapat 'memasarkan' diri terlebih dulu. Saya percaya, modal utama untuk berjaya ialah diri sendiri," Datuk Dr Maznah Hamid, Pengerusi Eksekutif Securiforce
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim, berkata dunia keusahawan tiada titik penamat kerana ia ada turun naiknya.
Katanya, untuk memiliki rangkaian perniagaan yang luas mereka perlukan pelbagai maklumat dan pengetahuan untuk mengembangkan perniagaan.

“SME berperanan menjadi rujukan kepada usahawan yang akan membimbing mereka termasuk dari segi mendapatkan keuntungan,” katanya dalam perbincangan bertajuk ‘Adakah Keusahawanan Untuk Semua Orang’, pada sesi Jejak Keusahawanan ‘The Women Extraordinaire Forum 2013’ (WEF), di ibu kota baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar dan Pengarah Dragonfire Corporate Solutions Sdn Bhd, Hanie Razaif Bohlender; Presiden Peniagawati, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi; Pengerusi Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif WealthAsia Group, Elsa Pau manakala Penerbit The Business Station BFM89.9, Soon Heng Lim bertindak sebagai moderator.
Hafsah berkata, segelintir individu memberi alasan ingin berniaga kerana tidak suka bekerja dengan orang sedangkan alasan itu tidak mungkin berjaya melahirkan usahawan yang benar-benar boleh dibanggakan.

“Bekerja sendiri dan memiliki syarikat sendiri bererti anda perlu memiliki komitmen tinggi, disiplin dan kecekalan untuk majukan perniagaan,” katanya.

Mengenai usahawan ‘dilahirkan’ atas pengaruh genetik keluarga, Hafsah berkata ia mungkin kebetulan, sebaliknya usahawan berjaya dan berkaliber boleh dibentuk serta digilap menerusi ilmu keusahawanan.

Tingkatkan keupayaan

Bagi beliau walaupun mempunyai pengetahuan dan akses mudah dalam bidang perniagaan, lebih selesa mengendalikan perkhidmatan meningkatkan keupayaan usahawan.

Hafsah berkata, usahawan berjaya dan berkaliber, boleh dibentuk serta digilap menerusi ilmu keusahawanan.

“Ada orang bertanya kepada saya, kenapa tidak menjadi usahawan sebaliknya bekerja dengan SME? Saya pernah berniaga tetapi tidak menjadi kerana kurang minat dalam bidang itu, sebaliknya lebih selesa membantu melahirkan lebih ramai usahawan,” katanya.

Beliau yang berpengalaman luas dalam pentadbiran sektor awam, termasuk pernah berkhidmat di beberapa kementerian antaranya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjelaskan, individu perlu jelas matlamat utama berkecimpung dalam dunia keusahawanan manakala minat, disiplin dan kecekalan adalah pendorong kepada kejayaan dalam bidang itu.

Suka kerja sendiri

Bagi Presiden Peniagawati, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi, beliau tidak gentar dengan cabaran dan ingin mencipta sesuatu kelainan.

Oleh itu, beliau memberanikan diri membuka firma guaman sendiri pada 90 untuk membezakan dirinya dengan rakan seperjuangannya, pada zaman itu.

“Waktu itu ramai rakan yang juga dalam jurusan undang-undang menyifatkan saya ‘hilang akal’ kerana tanpa modal dan tiada kenalan susah untuk meneroka bidang itu.

“Ada yang kata saya harus menimba pengalaman dengan bekerja dengan firma lain dulu tetapi tidak mahu ‘terikat’ dengan orang lain.

“Saya tubuhkan Azlin Alahakone & Associates, 1 Januari 1990. Pejabat saya dilengkapi bilik untuk bermain muzik. Jika ada peguam yang rasa tertekan boleh bermain muzik di situ. Saya mahu mewujudkan suasana kerja yang santai dan menyeronokan bagi mengelak kebosanan,” katanya yang berbakat bermain gitar, keyboard, drum dan saksofon.

“Enam bulan pertama, perit sikit sebab duit saya sewaktu belajar dulu lebih banyak daripada pendapatan saya terima daripada membuka firma itu,” katanya.

Hari ini selepas 26 tahun, beliau berbangga selaku ‘Managing Partner of Messrs Azlin Shaharbi & Associates’ malah pada 2006. Beliau juga menulis buku bertajuk ‘Undang-Undang Untuk Usahawan’ yang mengupas mengenai aspek perundangan dalam menjalankan perniagaan.

Pada 2011 beliau menulis buku bertajuk ‘Panduan Undang-undang Untuk Kejayaan Perniagaan’. Buku berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada usahawan dan kementerian berkaitan.

Aktif dalam badan bukan kerajaan, (NGO) dan menjadi inspirasi usahawan muda untuk berjinak-jinak dalam dunia penuh cabaran itu.

Bijak cari peluang

Hanie berkata, usahawan seharusnya berani, bijak mencari peluang dan sedia menghadapi risiko dalam dunia perniagaan.

Dilahirkan dalam keluarga yang berkecimpung dalam dunia perniagaan, Hanie berkata, pada usia 18 tahun ibunya memberikan modal kira-kira RM10,000 untuk memulakan perniagaan.

“Pada usia itu bukan semua anak muda tahu ‘gunakan duit’. Saya fikir, daripada membazir lebih baik saya ‘beranakkan’ duit itu. Waktu itu saya tinggal di Kuantan dan Teluk Chempedak adalah lokasi tarikan pelancong. Banyak sangat gerai makan di situ. Untuk kelainan, saya membuka gerai kecil menyediakan pareo batik lukisan tangan dan ia mendapat pulangan sambutan dan pulangan yang sangat baik,” katanya.

Walaupun, perniagaan itu tidak bertahan lama, beliau berpuas hati kerana ia mampu memberi keuntungan.

“Saya juga pernah berniaga alas meja pada bulan Ramadan dan ia juga menguntungkan,” katanya.

Bijak cari peluang

Hanie sememangnya bijak mencari peluang dan kebetulannya pula ideanya sering ‘menjadi’, malah pernah menceburi perniagaan berasaskan makanan dan katering ketika menetap di Sabah dengan menggajikan lebih 3,000 pekerja.

Malangnya kata Hanie, bukannya semua pengalamannya indah kerana sampai satu tahap beliau juga pernah gagal dalam perniagaannya.

“Bagaimanapun, kegagalan itu dijadikan pengajaran dan belajar daripada kesilapan untuk membina semula perniagaan,” katanya yang kini melangkah gagah sebagai Pengurus Besar dan Pengarah di Dragonfire Corporate Solutions Sdn Bhd, sebuah sebuah perniagaan perunding pengurusan syarikat.

Bina jaringan

Berperwatakan ceria, Elsa Pau berpendapat usahawan boleh diceburi oleh semua orang asal saja mereka mempunyai minat dan bersedia bekerjasama.

“Sekiranya anda dipaksa meneruskan perniagaan diwarisi keluarga, sukar untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang itu kerana melakukan perkara yang tidak diminati.

Kejayaan dalam perniagaan juga memerlukan jaringan, rakan, ilmu pengetahuan dan kemahiran kerana itu juga antara tunggak terpenting untuk mengukuhkan perniagaan itu.

“Malah bagi saya kalau fikir boleh lakukan semuanya secara sendirian, ia bererti anda sudah merancang untuk gagal,” katanya.

Melihat caranya bekerja, tidak mustahil mampu Elsa mampu meletakkan dirinya sebagai Pengasas, Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WealthAsia, selain ‘senior’ dalam industri kewangan dan ketua pengarang Majalah BENCHMARK dan rakan kongsi kanan di sebuah firma perunding perancangan harta. 

Kehebatannya juga melayakkan beliau dinamakan oleh majalah AsiaWeek sebagai salah seorang ‘Wanita Paling Berpengaruh’ di Asia.

sumber : http://www2.bharian.com.my/articles/Likubidangkeusahawanan/Article/

Wanita mampu lahirkan usahawan berjaya


KUALA LUMPUR - Kuasa wanita bukan sahaja mampu membentuk peribadi anak-anak mereka malah melahirkan generasi yang berpotensi tinggi khususnya dalam bidang keusahawanan.

Ungkapan itu dizahirkan sendiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang berkongsi rahsia kejayaan beliau dalam bidang penerbitan diceburi lebih 30 tahun.

"Wanita khususnya seorang ibu mampu membaca naluri dan mengenal pasti potensi diri anak-anak mereka.

"Pendidikan awal dari rumah juga menjadi penyumbang kepada kejayaan seseorang individu," katanya yang berkongsi rahsia itu di hadapan 400 orang peserta Konvensyen Inspirasi Usahawan anjuran Mingguan Wanita
sempena ulang tahun majalah itu yang ke-30 tahun.

Beliau berkata, mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan perlu kreatif dan bijak memanfaatkan peluang.

"Jangan jadikan masalah itu satu bebanan tetapi jadikan situasi itu sebagai peluang untuk kita rangka sesuatu yang lebih baik," katanya.

Tambah beliau, setiap individu yang mahu bergelar usahawan perlu menyiapkan diri dengan ilmu yang cukup dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

Menurut Editor Pengurusan Majalah Karangkraf, Liza Ali, konvensyen itu buat julung kalinya diadakan sebagai tanda penghargaan kepada wanita Malaysia khususnya pembaca Mingguan Wanita.

"Matlamat utama adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya saing dan akan sentiasa bersedia menghadapi cabaran dunia perniagaan hari ini.

"Konvensyen ini juga adalah sebagai satu usaha Mingguan Wanita bagi berkongsi informasi dan memberi bimbingan melalui perkongsian ilmu keusahawanan," katanya.

Konvensyen kali ini membawa lima panelis yang terdiri daripada usahawan hebat dan berjaya malah bergelar jutawan ini sebagai menghargai sokongan pembaca yang sentiasa menjadikan majalah Mingguan Wanita sebagai
bahan bacaan utama.
Sejak 2000, Mingguan Wanita diketuai oleh Nuri Supian selaku editor.
Antara panel hebat yang dibawa khas ialah Pengarah Urusan Richworks Resources Sdn Bhd, Dr Azizan Osman; Pengarah Urusan Hajaba dan Leesa Formula, Mona Din; Pengarah Urusan D'Navechee, Datuk Dr Azlina Che
Abdullah dan Pengarah Lunatots, Siti Nursuraya Mohamed Ali.
Pada segmen perkongsian maklumat Mingguan Wanita menampilkan Timbalan Pengurus Unit Keusahawanan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Noornazreen Ab Ghani dan Pengurus Korporat Teknologi Park
Malaysia, Aniz Adura Abdul Majid yang berkongsi maklumat mengenai peluang yang boleh dimanfaatkan usahawan.

Melalui paparan artikel Mingguan Wanita telah berjaya mencetuskan semangat usahawan dan secara tidak langsung telah melahirkan ramai usahawan baru yang berjaya.
Selain itu, bertujuan membangkitkan semangat wanita-wanita yang ingin memulakan perniagaan.

Konvensyen ini juga menjadi platform bagi membangunkan idea perniagaan dalam memilih perniagaan yang tepat dan sesuai serta mempunyai permintaan yang tinggi.
Antara topik yang dikupas adalah mengenai asas keusahawanan yang tepat, pemilihan perniagaan mengikut landasan, pengendalian kewangan dan panduan pemasaran melalui perkongsian pengalaman serta pengetahuan.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/wanita-mampu-lahirkan-usahawan-berjaya-1.177312
Internet beri impak dalam perniagaan dan sosial
Berdasarkan penyelidikan global dijalankan McCann Worldgroup, perniagaan memerlukan anjakan terutama daripada segi pemikiran tentang model perniagaan dan memikir semula penciptaan nilai jenama untuk berjaya dalam dunia jaringan sosial.

Menurut kajian bertajuk, The Truths About Social yang dijalankan merentasi 19 negara dan disertai lebih 30 kumpulan fokus dan 12,000 respons secara talian telah mendedahkan pandangan tentang semua berkaitan dengan dunia sosial termasuk melalui jaringan, sosial, bukti dan perniagaan sosial.

Pengarah Kumpulan Perancangan Penjenamaan dan Inovasi, McCann Worldgroup Malaysia, Dr Milan Agnihotri berkata, kebanyakan pengguna menggunakan media sosial untuk berinteraksi dengan jenama dan mendapatkan khidmat pelanggan yang lebih baik.

”Mereka juga memuji sesuatu pengalaman, meluahkan perasaan, mengutip maklumat dan mendapatkan tawaran lebih baik,” katanya.

Menurutnya, kesemua kajian menunjukkan,­ pengguna merujuk kepada jenama melalui pengguna atau blogger berpengaruh.

Beliau berkata, dalam golongan usia 16 hingga 30 tahun, 90 peratus daripada mereka akan memberitahu kepada rakan, tentang sesuatu syarikat atau jenama itu mampu meya­kinkan mereka.

“Jelas sekali manfaat dan pe­ngaruh media sosial terhadap pengguna Internet semakin cepat memberi impak kepada dunia perniagaan.

“Media sosial menjadi platform untuk berkongsi idea, menilai jenama dan perniagaan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pengguna memainkan peranan besar dalam mengubah perniagaan yang berorientasikan keuntungan kepada perusahaan yang bermatlamat. Potensi ganjaran untuk syarikat dan jenama amat besar terutama peluang untuk menjadi jenama global yang dipercayai pengguna.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/bisnes/internet-beri-impak-dalam-perniagaan-dan-sosial-1.26259